KUALA KANGSAR: Seorang wanita maut setelah dilanggar oleh sebuah lori kontena ketika kereta yang dinaikinya berhenti di bahu jalan akibat rosak di kilometer (km) 235.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara, di sini, hari ini.

Difahamkan kereta yang dinaiki mangsa dan dua lagi lelaki mengalami kerosakan, ketika kejadian mangsa berada di luar kenderaan tersebut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.23 pagi, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi.

"Sebuah lori kontena dipercayai melanggar bahagian sisi sebuah kereta jenis Honda Civic yang berhenti di bahu jalan, lori itu telah melanggar seorang wanita yang ketika itu berada di sisi luar kenderaan berkenaan.

"Mangsa disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital manakala tiga mangsa lagi iaitu pemandu lori dan dua lelaki dari kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, anggota bomba turut membuat pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa lain terlibat.

Seterusnya mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Saiful Hanif Mahmad Ayub itu tamat pada jam 6.02 pagi.